Penderma Organ Tertua Sabah Beri Sinar Penglihatan Kepada Dua Penerima

Penderma Organ Tertua Sabah Beri Sinar Penglihatan Kepada Dua Penerima

0
SHARE
Selvaraju
Penderma organ tertua di negeri Sabah, mendiang Selvaraju Shanmugam @ SS Raju ( Sumber Foto: Ihsan JKNS )

KOTA KINABALU, SABAH – Penderma organ tertua di negeri Sabah, mendiang Selvaraju Shanmugam @ SS Raju, 83, memberikan hadiah penglihatan melalui kornea kepada dua penerima di Hospital Queen Elizabeth (HQE) baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Datuk Dr Asits Sanna berkata Selvaraju telah meninggal dunia akibat komplikasi jantung.

“Mendiang merupakan seorang suami dan bapa yang penyayang, bermurah hati dan selalu membantu orang lain yang dalam kesusahan.

“Walaupun tidak berkesempatan mendaftar sebagai pengikrar penderma organ, mendiang pernah memaklumkan hasrat menderma organ kepada ahli keluarganya.

“Pihak keluarga telah mendermakan sepasang kornea (mata) yang telah membantu dua orang pesakit lain mendapat sinar baharu dalam kehidupan mereka,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Penderma organ tertua di Sabah sebelum ini berusia 80 tahun pada tahun 2018, manakala penderma organ termuda berusia satu tahun empat bulan pada tahun 2008.

Jumlah penderma organ kadaverik (setelah meninggal dunia) di Sabah setakat bulan Oktober 2023 adalah seramai 33 orang.

Asits menyeru orang ramai agar mendaftar sebagai pengikrar penderma organ melalui aplikasi MySejahtera dan maklumkan hasrat murni tersebut kepada ahli keluarga terdekat.

“Jabatan Kesihatan Negeri Sabah mengucapkan takziah dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak keluarga Selvaraju di atas anugerah kehidupan yang diberikan.

“Semoga roh mendiang diberkati dan pihak keluarga diberi kekuatan menghadapi kehilangan ini,” tambahnya.