Pendigitalan Pendidikan Sekolah Seluruh Putatan Terus Diperkasakan

Pendigitalan Pendidikan Sekolah Seluruh Putatan Terus Diperkasakan

0
SHARE
Shahelmey
Shahelmey bergambar bersama wakil sekolah semasa Majlis Penyerahan sumbangan Smart TV di Pejabat Pusat Khidmat Rakyat ADUN N24 Tanjung Keramat ( Sumber Foto: Ihsan pejabat ADUN Tanjung Keramat )

PUTATAN, SABAH – Pendigitalan pendidikan di semua sekolah dalam daerah Putatan terus diperkasakan.

Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata ianya penting kerana pendigitalan adalah sangat berkait rapat dengan kehidupan masa kini termasuklah pendidikan.

“Dengan evolusi digital masa kini, kita tidak ingin pelajar-pelajar yang bersekolah di daerah Putatan ketinggalan disebabkan oleh kekurangan prasarana di sekolah masing-masing.

“Melalui sumbangan-sumbangan prasarana seperti ‘smart Tv’ ini diharapkan akan dapat menggalakkan dan membantu pihak sekolah dalam usaha pembelajaran secara digital” ujarnya.

Shahelmey berkata demikian ketika berucap di Majlis penyerahan sumbangan ‘Smart Tv’ kepada sekolah-sekolah dalam daerah Putatan di Pejabat Pusat Khidmat Rakyat ADUN N24 Tanjung Keramat, Putatan hari ini.

Menurut Shahelmey, selaku ahli Parlimen Putatan, pihaknya sentiasa terbuka untuk membincangkan isu-isu pendidikan dalam daerah Putatan demi untuk pembangunan masyarakat.

“Pihak sekolah sentiasalah berkomunikasi dengan kami berhubung apa-apa juga isu pendidikan di dalam Parlimen Putatan agar kita sama-sama dapat membangunkan masyarakat melalui agenda pendidikan” jelasnya.

Untuk rekod, sebanyak 10 buah sekolah dalam daerah Putatan mendapat sumbangan tersebut yang disumbangkan oleh Pejabat Pusat Khidmat Rakyat ADUN N24 Tanjung Keramat.

Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Penampang, Awang Mohd Kadir Awang Kanak, Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri III, Mohd Sufian Matin dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tanjung Keramat, Mahadzir Abdul Majid.