KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pelbagai agensi keselamatan dan penyelamat hari ini memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi dua cabaran besar yang bakal tiba serentak, iaitu Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRU17) dan Monsun Timur Laut 2025/2026.
Langkah koordinasi itu dimantapkan melalui Mesyuarat Persiapan Menghadapi PRU Sabah Ke-17 dan Monsun Timur Laut 2025/2026 yang dipengerusikan oleh Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda, di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu.
Mesyuarat yang berlangsung hampir dua jam itu turut dihadiri wakil pelbagai agensi utama termasuk TLDM, ATM, Agensi Maritim Malaysia, MKN, JPBM, JKR, DBKK, MetMalaysia, RELA dan JKM.
ACP Kasim dalam mesyuarat berkenaan menekankan bahawa persiapan menyeluruh diperlukan bagi memastikan keselamatan awam, kelancaran operasi pengundian, serta kecekapan tindak balas bencana dapat digerakkan secara bersepadu.
Katanya, PDRM mengambil pendekatan proaktif dengan menyelaras sumber manusia, aset logistik dan sistem komunikasi bagi memastikan setiap agensi dapat melaksanakan tanggungjawab dengan lancar dan tersusun.
Beliau turut menegaskan bahawa koordinasi antara agensi perlu diberi tumpuan sepenuhnya, khususnya dalam aspek pengurusan trafik, pemantauan kawasan berisiko, perlindungan aset awam, serta kebajikan mangsa banjir sekiranya keadaan cuaca tidak menentu berlaku sepanjang tempoh pilihan raya.
Menurutnya, kesiapsiagaan awal ini adalah bukti kesungguhan pihak berkuasa untuk memastikan keselamatan masyarakat tidak terjejas dalam apa jua keadaan.
Mesyuarat tersebut turut memperkukuh pelan tindakan bersepadu antara agensi keselamatan dan bantuan, termasuk pelaksanaan Standard Operating Procedure (SOP) khas bagi situasi serentak PRN dan monsun.
ACP Kasim menegaskan bahawa kerjasama erat semua pihak menjadi tunjang utama dalam memastikan operasi berjalan lancar dan masyarakat dapat menjalankan tanggungjawab mengundi dengan selamat.






