TAWAU, SABAH – Bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Tawau telah membuat serbuan di kawasan lot kedai Jalan Bunga Tanjung, Tawau dan telah mengesan sebuah kenderaan mencurigakan di tempat letak kenderaan di kawasan tersebut.
Suspek yang berada di dalam kenderaan tersebut telah bertindak memecut kenderaan untuk melarikan diri setelah menyedari kehadiran polis namun gagal.
Pemeriksaan lanjut pihak polis ke atas kenderaan tersebut telah menjumpai satu bungkusan plastik hijau bertulis βYushan High Mountain Teaβ dan β66β yang mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 1020.02 gram dengan anggaran nilai RM 70,000.00
Suspek dan barang kes termasuk sebuah kereta yang digunakan suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
Suspek telah dibawa ke Mahkamah Tawau pada pagi kelmarin dan Majistret Leona Dominic Mojiliu telah meluluskan reman selama (7) hari bermula kelmarin (10 Nov).
Kes disiasat di bawah Seksen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.