
KOTA KINABALU, SABAH – Dua orang lelaki termasuk seorang remaja berusia 13 tahun ditemui lemas dalam dua kes berasingan, semalam.
Pencarian tiga hari bagi kes pertama di Kampunh Bengkala Buang Sayang Suan Lamba, Kinabatangan berakhir dengan penemuan mayat Alner Kalim.
Mangsa berusia 20-an ditemui pada 2:30 petang oleh penduduk kampung kira-kira 6 kilometer dari Pusat Kawalan Tempat Kejadian.
Alner pada pukul 11 pagi Selasa telah keluar untuk membuat ujian botnya di sungai Kampung Bengkala.
“Orang kampung telah menjumpai bot mangsa telah karam dan mangsa tidak berada di lokasi serta dikhuatiri hilang.
“Sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan telah ke lokasi kejadian untuk mendapatkan maklumat seterusnya menjalankan pencarian di permukaan air sekitar lokasi,” kata seorang jurucakap bagi Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah.
Mangsa seterusnya dibawa ke jeti Kamping Bengkala Buang Sayang Suan Lamba menggunakan bot penduduk kampung dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Dalam kes berasingan di Kampung Rungus Nahaba, Tuaran, seorang remaja berusia 13 tahun ditemui lemas ketika melakukan aktiviti mandi-manda di sungai Togot.
Insiden pada kira-kira jam satu tengah hari kelmarin itu turut melibatkan penduduk kampung.
“Pasukan bomba dalam perjalanan ke lokasi kejadian mengambil maklumat dan seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat namun mangsa telah dijumpai penduduk kampung disekitar kawasan mangsa dilaporkan lemas.
“Tindakan pasukan bomba membawa keluar mangsa dari kawasan sungai ke kawasan kampung menggunakan pengusung.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya, sambil menambah operasi ditamatkan pada jam 5:15 petang.