KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 50-an maut selepas motosikal yang ditungganginya bergesel dengan sebuah pacuan empat roda di Jalan Pintas Tuaran berhampiran lampu isyarat Ford Sales Centre.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda, berkata kemalangan berlaku sekitar jam 2.22 petang semalam apabila mangsa membuat pusingan U dari arah Likas ke Inanam sebelum menukar lorong tanpa menyedari kehadiran kenderaan di lorong kanan.
“Mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Likas pada jam 3.46 petang,” katanya.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada tindakan mangsa menukar lorong tanpa memastikan keadaan jalan selamat.
“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk pemeriksaan kenderaan, pengesanan rakaman CCTV serta ujian alkohol dan dadah,” jelasnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis menasihatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati dan mematuhi undang-undang trafik bagi mengelakkan tragedi.