JAKARTA, INDONESIA – Seorang lelaki nekad membunuh isterinya yang didakwanya kerap menghabiskan masa dengan bermain aplikasi TikTok pada telefon bimbit.
Memetik laporan portal Suara.com, mangsa yang dikenali sebagai Dasmani mati dalam pelukan anak lelakinya iaitu Septia Pratama lebih kurang pada jam 12 tengah hari (waktu tempatan) dalam keadaan berlumuran darah di kediaman mereka di Surabaya.
Difahamkan, wanita itu dipercayai telah dipukul dengan menggunakan objek tumpul sehingga menyebabkan kecedaraan parah.
Menurut Septia, dia menerima panggilan daripada ibunya kira-kira pukul 10.45 pagi (waktu tempatan) dan wanita itu mengatakan bahawa dia ‘sudah tidak larat’.
“Sebaik sahaja mendapat panggilan daripada ibu, saya terus pulang ke rumah,” katanya.
Setibanya di rumah, Septia mendapati bahawa pintu rumah telah dikunci, lantas dia bertindak memecahkannya, sebelum melihat ibunya yang sedang berada dalam keadaan ‘nyawa-nyawa ikan’.
“Ketika itu, ibu masih bernafas, namun selepas saya mengangkat tubuhnya, dia meninggal dunia,” kata Septia sambil menahan sebak.