Penyokong Dilarang Bawa Bendera Politik Masuk Stadium Likas

Penyokong Dilarang Bawa Bendera Politik Masuk Stadium Likas

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Penyokong yang hadir ke Stadium Likas untuk menyaksikan perlawanan Piala Malaysia antara Sabah FC dan Kuching FC, Jumaat ini, tidak dibenarkan membawa bendera atau kain rentang berunsurkan politik.

Ketua Penyelaras Venue Sabah FC, Shamsuddin Mohd Shah berkata, larangan berkenaan bagi mematuhi arahan yang dikeluarkan Malaysian Football League (MFL), baru-baru ini.

Katanya, larangan itu membabitkan sebarang bentuk kain rentang, bendera, cogankata dan pakaian yang berunsur politik, perkauman, agama dan provokasi.

“Semua bendera dan kain rentang berkaitan empat unsur-unsur berkenaan amat dilarang dipasang, dibawa masuk atau dipakai di dalam dan pekarangan stadium sepanjang perlawanan TM Piala Malaysia.

“Larangan itu juga termasuk sebarang aktiviti kempen pilihanraya, pengedaran risalah parti atau aktiviti mengedarkan apa-apa bentuk bantuan yang bersifat politik,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Shamsuddin berkata, petugas keselamatan Sabah FC dan pihak berkuasa stadium melakukan pemeriksaan teliti bagi mengelakkan barangan terlarang dibawa masuk ke dalam stadium.

Katanya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang gagal mematuhi peraturan ini.

Sementara itu, Shamsuddin berkata, semua penonton digalakkan hadir ke stadium seawal jam 6.30 petang bagi mengelakkan kesesakan pada perlawanan yang dijadualkan bermula jam 8.15 malam.

“Kita sekali lagi mengalakkan penonton yang hadir supaya memakai pelitup muka sepanjang perlawanan…

“Penonton juga tidak dibenarkan membawa botol minuman, payung dan helmet masuk ke dalam stadium,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga mensasarkan sekurang-kurangnya lebih 20,000 penyokong dan peminat bola sepak akan hadir pada perlawanan kali ini.