Perubahan Perlukan Kerja, Bukan Kata-Kata – Salleh Said Keruak

Perubahan Perlukan Kerja, Bukan Kata-Kata – Salleh Said Keruak

0
SHARE

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, menegaskan bahawa perubahan sebenar tidak akan tercapai hanya dengan kata-kata, sebaliknya memerlukan kesediaan untuk bertindak dan bekerja secara ikhlas serta konsisten demi kepentingan rakyat.

Dalam kenyataannya di laman Facebook rasmi hari ini, Salleh menekankan bahawa ramai yang pandai bercakap, namun tidak semua sanggup turun padang dan melakukan kerja sebenar.

Menurutnya, sebarang usaha membina kemajuan perlu bermula dari dalam komuniti itu sendiri, bukan dengan menunggu bantuan atau tindakan pihak lain.

Beliau yang juga Bendahari UMNO Sabah, menegaskan bahawa kerja yang dilakukan dengan keikhlasan tidak memerlukan publisiti atau pujian, sebaliknya hasil nyata yang memberi manfaat kepada rakyat adalah bukti sebenar keberkesanan kepimpinan.

Katanya, tindakan yang senyap dan konsisten sering kali membawa impak yang lebih besar berbanding retorik politik yang kosong.

Salleh turut mengingatkan bahawa rakyat tidak menuntut kesempurnaan daripada pemimpin.

“Sebaliknya, mereka mengharapkan kehadiran pemimpin yang benar-benar memahami realiti di lapangan dan sanggup bersama-sama membantu menyelesaikan masalah masyarakat dengan tuntas,” tegasnya.

Beliau menekankan bahawa kerja kepimpinan perlu dilaksanakan sebagai satu amanah, bukan kerana mencari pengiktirafan atau pujian.

Tambahnya lagi, walaupun kata-kata mudah diucapkan, yang akan kekal dalam ingatan rakyat adalah hasil daripada tindakan dan usaha yang telah dilaksanakan.

Bagi beliau, usaha kecil yang dijalankan dengan jujur mampu memberi kesan besar kepada masyarakat jika dilakukan dengan tekad dan tanggungjawab bersama.

Beliau menyeru semua pihak, khususnya pemimpin, untuk memberi keutamaan kepada tindakan nyata demi kemajuan rakyat dan negeri Sabah.