IPOH – Sebuah pesawat ringan dipercayai telah terhempas di Jalan Raja Dr Nazrin Shah, dekat Medan Gopeng, di sini, malam kelmarin membabitkan dua jurulatih penerbangan.
Insiden tersebut telah mengakibatkan seorang mangsa maut, dan seorang lagi mangsa selamat dan hanya mengalami kecederaan. Mangsa adalah, Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, dari Semenyih, Selangor, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala , manakala Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62, dari Bukit Damansara, Kuala Lumpur, mengalami kecederaan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata kedua-dua mangsa adalah jurulatih penerbangan di sebuah sekolah penerbangan berdekatan lokasi kejadian…
Difahamkan kejadian nahas tersebut, berlaku kira-kira jam 8.10 malam kelmarin, pesawat itu dilaporkan terhempas dalam kawasan rumah pam Sungai Rokam milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang terletak bersebelahan sebuah kediaman penduduk.
Jelas beliau, kemungkinan pesawat jenis Piper PA 28 bernombor pendaftaran 9M-BAA itu telah berlepas dari sekolah penerbangan terbabit lebih awal lagi.
“Kita percaya mereka melakukan penerbangan lebih awal lagi sebelum kejadian, namun belum dapat dipastikan sama ada mereka sedang menjalani latihan dan sebagainya…
“Keadaan cuaca ketika polis sampai di tempat kejadian, adalah baik. Justeru, punca insiden masih dalam siasatan,” katanya.
Tambah beliau, kedua-dua mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan dari bangkai pesawat dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) kira-kira jam 9.20 malam.
Katanya, siasatan mengenai punca sebenar kejadian diserahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang difaham akan memulakan siasatan pada malam ini juga.