Pfizer Tangguhkan Penghantaran Vaksin COVID-19 Ke 8 Negara Eropah

Pfizer Tangguhkan Penghantaran Vaksin COVID-19 Ke 8 Negara Eropah

0
SHARE

MADRID, SEPANYOL – Kementerian Kesihatan Sepanyol dalam satu kenyataan memaklumkanĀ Pfizer telah menangguhkan penghantaran baharu vaksin COVID-19 ke lapan (8) negara Eropah termasuk negara mereka sendiri, sehari selepas Kesatuan Eropah (EU) memulakan kempen imunisasi.

Pfizer cawangan Sepanyol semalam memaklumkan Madrid bahawa penangguhan penghantaran ke lapan negara itu disebabkan ‘masalah dalam proses pemunggahan dan penghantaran’ dari Belgium, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, ia tidak memperincikan negara Eropah lain selain Sepanyol yang turut terkesan dengan masalah itu .

Memetik laporan AFP, Pfizer memaklumkan pada kementerian itu bahawa masalah ‘sudah diselesaikan’, namun penghantaran vaksin berikutnya ‘akan mengalami kelewatan beberapa jam’ dan tiba ke Sepanyol esok, lewat sehari daripada jadual asal.

Ditanya mengenai penangguhan itu ketika ditemubual radio Ser, Menteri Kesihatan Sepanyol, Salvador Illa, berkata ia berikutan masalah berkaitan kawalan suhu penghantaran yang ‘sudah dibaiki.

Vaksin perlu disimpan pada suhu amat rendah iaitu kira-kira -70 darjah Celsius sebelum dihantar dalam kotak penyejuk yang direka khas dipenuhi ais kering, ke pusat pengagihan.

Selepas keluar daripada bekas sejuk beku itu, vaksin berkenaan perlu disimpan pada suhu antara dua hingga lapan darjah Celsius dalam tempoh sehingga lima hari, untuk memastikan keberkesanannya.

Sepanyol dijadualkan menerima 350,000 dos vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech setiap minggu untuk tempoh tiga bulan.

Kebanyakan negara EU memulakan kempen imunisasi virus itu hujung minggu ini menerusi vaksin Pfizer-BioNTech, bermula dengan warga emas, petugas kesihatan dan ahli politik.