Polis Kini Menahan Suspek Berhubung Kes Melibas Kenderaan Awam Menggunakan Senjata Tajam...

Polis Kini Menahan Suspek Berhubung Kes Melibas Kenderaan Awam Menggunakan Senjata Tajam Di Tawau

0
SHARE

TAWAU – Polis Tawau berjaya menahan seorang suspek (lelaki) berumur 26 tahun dipercayai terlibat dengan satu kes ugutan jenayah baru-baru ini dengan merosakkan kereta milik orang awam dengan menggunakan senjata tajam.

Kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 4.40 pagi Ahad, 3 September 2017 di lorong 2A Taman Semarak Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata, pihak polis telah membuat tangkapan terhadap seorang lelaki tempatan bertempat di atas bangunan kedai, Lot 3, Blok A tingkat 1, Taman Industri Jade, Tawau yang dipercayai terlibat dengan kes ini.

Tangkapan suspek dibuat kira-kira pukul 11.30 pagi, Ahad, iaitu hari yang sama.

Sumber Foto; Harian Metro

Menurut ACP Fadil, kira-kira pukul 4.40 pagi Ahad baru-baru ini, semasa mangsa yang berumur 74 tahun (pemilik kereta) menaiki kenderaan menuju ke masjid untuk menunaikan solat subuh, keretanya telah dilibas dengan senjata tajam oleh seorang lelaki yang tidak dikenali. Mangsa (pemilik kereta) hanya melihat dari dalam kenderaan dan tidak berani untuk berhenti dan keluar kerana risau akan keselamatan dirinya.

Kejadian menyebabkan kerosakan pada bahagian pintu hadapan kenderaan sepanjang 4 inci dan anggaran kerugian kira-kira 500-ringgit.

ACP Fadil berkata, berdasarkan rakaman video yang tular di media sosial ‘Facebook’ dan ‘WhatsApp’ yang berdurasi 1 minit 39 saat itu, suspek juga turut merosakkan sebuah lagi kenderaan, namun sehingga kini pihak polis masih belum menerima sebarang laporan.

Pihak polis juga masih lagi mengesan senjata yang digunakan suspek dan suspek dipercayai berkeadaan mabuk dan khayal dadah semasa kejadian.

Kesalahan lampau turut mendapati suspek pernah ditangkap berkaitan kes dadah pada tahun 2015 sebanyak sekali dan hasil urine test keatas suspek, mendapati suspek positif dadah jenis ‘Methapethamine’.

Suspek mula direman pada hari ini, 4 September 2017 (Isnin) di bawah Seksyen 117 KPJ untuk siasatan lanjut. Klasifikasi kes disiasat dibawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (Ugutan Jenayah).