KOTA KINABALU: Bahagian Api-Api Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyokong penuh cadangan penstrukturan semula parti yang melibatkan pengurangan jumlah bahagian daripada 73 kepada 25.
Ketua Bahagian Api-Api, Datuk Faisyal Diego berkata, langkah itu merupakan usaha strategik bagi memperkukuh struktur organisasi parti serta meningkatkan kecekapan pentadbiran dan penyelarasan kepimpinan.
“Cadangan penstrukturan semula daripada 73 kepada 25 bahagian merupakan langkah strategik yang akan memperkukuhkan struktur organisasi parti serta meningkatkan keberkesanan gerak kerja di peringkat akar umbi,” katanya.
Menurutnya, Bahagian Api-Api yang meliputi kawasan Kota Kinabalu sebulat suara menyokong cadangan itu dalam mesyuarat bahagian yang diadakan sempena majlis berbuka puasa pada Isnin.
Faisyal turut menegaskan sokongan penuh bahagian itu terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, yang komited memastikan kestabilan politik, pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.






