Polis Tahan Lelaki Warga Asing, Disyaki Ugut Warga Emas Guna Parang di...

Polis Tahan Lelaki Warga Asing, Disyaki Ugut Warga Emas Guna Parang di Apas

0
SHARE

TAWAU: Seorang lelaki warga asing disyaki terlibat dalam kes ugutan terhadap seorang warga emas di Kampung Rawa-Rawa Batu 4, Jalan Apas, ditahan polis dalam satu operasi pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Polis (ACP) Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku apabila mangsa, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 70-an, didatangi beberapa lelaki ketika berada di rumahnya, dengan salah seorang suspek dilaporkan memegang sebilah parang.

“Suspek dan rakan-rakannya bertindak mengugut mangsa serta mengeluarkan kata-kata berbaur ancaman dipercayai akibat rasa tidak berpuas hati terhadap mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang bimbang akan keselamatannya kemudian tampil membuat laporan polis sebelum Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan siasatan dan operasi susulan.

“Hasil operasi, polis berjaya menahan seorang suspek lelaki warga asing berusia kira-kira 34 tahun di kawasan lot kedai Jalan Dunlop,” katanya.

Beliau berkata, hasil pandu arah suspek turut membawa kepada penemuan sebilah parang panjang berukuran kira-kira 40 sentimeter di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Rawa-Rawa Batu 4, Jalan Apas yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.

Menurutnya, polis kini sedang mengesan beberapa lagi individu yang disyaki terlibat dalam kes ugutan itu.

Suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.