PRK: BN Pertahan Kinabatangan dan Lamag, Naim Menang Besar Tinggalkan Warisan, Calon...

PRK: BN Pertahan Kinabatangan dan Lamag, Naim Menang Besar Tinggalkan Warisan, Calon Bebas

0
SHARE

KINABATANGAN: Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung Sabtu, dengan kemenangan bergaya dan majoriti besar.

Bagi Parlimen Kinabatangan, calon BN Mohd Kurniawan Naim Moktar, 32, meneruskan legasi bapanya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, apabila memperoleh 19,852 undi dengan majoriti 14,214.

Pencabarnya, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) sekadar meraih 5,638 undi, manakala calon Bebas Goldam Hamid memperoleh 946 undi, jauh ketinggalan.

Sementara itu, di DUN Lamag, calon BN Mohd Ismail Ayob memenangi pertarungan satu lawan satu selepas meraih 7,269 undi, menewaskan pencabarnya Mazliwati Abdul Malek (Warisan) yang memperoleh 1,588 undi.

Keputusan rasmi PRK diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Dr Eddy Syaizul Rizam, di pusat penjumlahan undi di Dewan Sri Lamag, malam tadi.

Seramai 48,526 pengundi berdaftar layak mengundi dalam PRK berkenaan yang melibatkan 36 pusat mengundi dan 119 saluran, termasuk satu undi awal dan satu undi pos.

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kekosongan kerusi selepas pemergian Allahyarham Bung Moktar pada 5 Disember lalu, kurang seminggu selepas beliau memenangi kerusi DUN Lamag pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 29 November 2025.

Pada PRN berkenaan, Bung Moktar mempertahankan kemenangan dua penggal di DUN Lamag dengan majoriti tipis 152 undi dalam saingan lima penjuru, manakala kerusi Parlimen Kinabatangan telah disandangnya sejak enam penggal berturut-turut bermula PRU10 pada 1999.