PRN-17: Shahelmey, Andi Hasrat Tanding Guna Tiket GRS – Hajiji 

PRN-17: Shahelmey, Andi Hasrat Tanding Guna Tiket GRS – Hajiji 

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mengesahkan bahawa dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada UMNO iaitu Datuk Ir. Shahelmey Yahya dan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berhasrat untuk bertanding menggunakan tiket GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Program Tamu Suara 360: Aspirasi Anak Muda di sini hari ini.

Menurut Hajiji, kedua-dua pemimpin itu yang kini memegang jawatan sebagai menteri dan pembantu menteri dalam kerajaan negeri telah menyatakan keinginan untuk bersama GRS dan perkara itu tidak menjadi halangan.

“Mereka sekarang berkeinginan untuk mewakili atau bertanding atas tiket GRS, itu keinginan mereka. Jadi saya tidak ada halangan kerana mereka adalah pemimpin, satu menteri (Menteri Kerja Raya) dan satu pembantu menteri (Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah),” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai agihan kerusi antara GRS dan Pakatan Harapan (PH) menjelang PRN17, Hajiji memaklumkan perbincangan bersama Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail baru-baru ini berjalan lancar dan kini hampir dimuktamadkan.

Beliau bagaimanapun menegaskan, sebarang tuntutan pembahagian kerusi perlu bersandarkan pendekatan praktikal dan peluang kemenangan.

“Memanglah gabungan mana pun mahu banyak kerusi, tapi kita mesti praktikal. Mana-mana kawasan yang kita ada peluang tinggi untuk menang, itulah yang kita minta supaya peluang kita lebih besar,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan jumlah calon muda dalam PRN kali ini, Hajiji hanya menjawab ringkas, “Insya-Allah,” sambil menambah bahawa keputusan rasmi mengenai calon masih belum diputuskan.