KOTA KINABALU, SABAH – Bantuan bakul makanan di bawah program Bantuan Prihatin 3.0 COVID-19 berjalan lancar di seluruh daerah negeri ini khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Timbalan Ketua Menteri Dato Sri Bung Moktar berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM34,366,500 juta untuk bantuan bakul makanan yang ketika ini sedang diagih-agihkan kepada penduduk terjejas ekoran penularan pandemik COVID-19.
Bagi kawasan Lamag, Bung yang juga wakil rakyat kawasan ini berkata, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Lamag diketuai oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat Lamag Abu Bakar Gapar dibantu oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kawasan masing-masing diberikan tanggungjawab sebagai penyelaras dan penyampai bantuan kepada rakyat.
“Setakat ini di kawasan saya (DUN Lamag) proses agihan berjalan lancar, bagaimanapun masih ada beberapa buah kampung dalam fasa penghantaran disebabkan faktor perhubungan selain pematuhan kepada Prosedur Operasi Standrad (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pegerakan (PKP)…
“Bagaimanapun saya memberi jaminan semuanya akan menerima bantuan tersebut,” katanya ketika ditemui di sini selepas menghadiri mesyuarat Kabinet negeri di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) kelmarin.
Menurut Bung yang juga Menteri Kerja Raya berkata, UPPM Lamag bersama JPKK juga telah diminta untuk menyampaikan maklumat pemberian vaksin COVID-19 dan dipertanggungjawabkan untuk mendaftarkan penerima.
“Setakat ini penerimaan rakyat di DUN Lamag terhadap pemberian vaksin COVID-19 amat positif dan saban hari ada yang mendaftar…
“Saya difahamkan pihak Hospital dan Jabatan Kesihatan telah turun padang ke kawasan-kawasan kampung yang jauh untuk memberikan vaksin kepada penduduk,” ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata.
Sementara itu Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Lamag Abu Bakar Gapar berkata, setakat ini lebih 3,000 Ketua Isi Rumah (KIR) dari 19 buah kampung telah menerima bantuan bakul makanan mereka masing-masing dan hanya tinggal 5 buah kampung yang belum.
“Insyallah Ahad ini kesemua kampung akan menerima bantuan tersebut dimana Bung selaku ADUN Kawasan ini akan menyampaikanya di kampung Balat dan Sangau,” katanya.
Dalam pada itu Abu Bakar meminta sekiranya ada penduduk yang tercicir dari senarai penerima agar berhubung dengan JPKK masing-masing bagi memastikan bantuan bakul makanan dapat disalurkan segara.