PRU Sabah: Anifah Aman Diumum Calon GRS untuk Kerusi Bongawan

PRU Sabah: Anifah Aman Diumum Calon GRS untuk Kerusi Bongawan

0
SHARE

BONGAWAN: Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman diumumkan sebagai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan dalam Pilihan Raya Umum Sabah ke-17.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor pada Majlis Ramah Mesra Ketua Menteri Bersama Rakyat Bongawan yang berlangsung di Dewan Serbaguna Bongawan, pada Isnin.

Hajiji yakin dengan kekuatan jentera parti gabungan, sokongan akar umbi dan kesatuan rakyat, Bongawan mampu kembali ditawan GRS setelah sebelum ini dimenangi blok pembangkang.

“Kalau GRS, parti komponennya, jenteranya mantap, ditambah sokongan rakyat dan bersatu padu, saya yakin Bongawan ini milik GRS,” katanya sambil menegaskan Bongawan akan dimajukan seperti slogan Bongawan Maju.

Dalam ucapannya, Hajiji yang juga Ketua Menteri turut menegaskan kepentingan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan demi kesinambungan pentadbiran negara, tanpa mengabaikan hak-hak Sabah dalam Persekutuan Malaysia.

“Kerjasama dengan Kuala Lumpur amat penting kerana dia mentadbir negara. Walau apapun kita pertahan hak negeri, kita juga mesti pertahankan negara,” katanya.

Hajiji turut menyatakan bahawa kira-kira 500,000 anak Sabah telah menerima manfaat bantuan pendidikan hasil peruntukan RM1.3 bilion dalam tempoh empat tahun lebih, sesuatu yang tidak pernah dicapai sebelum ini.

Menurut beliau, pencapaian ini adalah hasil peningkatan kutipan hasil negeri sehingga mencecah RM7.5 bilion berbanding hanya RM4-RM5 bilion setahun sebelum ini.

Pada masa sama, Hajiji menepis dakwaan pembangkang yang menuduh kerajaan hanya membuat pengumuman tanpa hasil nyata.

“Memang mereka tidak rasa kerana manfaat itu dirasai rakyat,” katanya sambil menyifatkan retorik pembangkang hanya sekadar “jual ubat” tanpa penyelesaian kepada keperluan rakyat.

Hajiji mengingatkan rakyat agar kekal bersatu dan tidak terpedaya dengan dakyah, fitnah serta naratif songsang pembangkang.

Beliau yakin GRS mampu kembali membentuk kerajaan selepas 29 November ini dan menjanjikan lebih banyak program pembangunan serta inisiatif ekonomi untuk rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang.