Pusat Cuci Kereta Tawar Servis Percuma Kenang Bung Moktar

Pusat Cuci Kereta Tawar Servis Percuma Kenang Bung Moktar

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sebuah pusat cuci kereta menawarkan perkhidmatan percuma sehingga tengah malam ini sebagai tanda penghormatan atas pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Pemilik 88 Kingz Detailz and Carwash, Datu Mohd Fadli Fathullah, yang mengusahakan cawangan berhampiran Karamunsing dan bulatan kuda di Tuaran, berkata inisiatif itu sebagai penghargaan terhadap jasa dan kebaikan Allahyarham.

“Datuk Bung pernah membantu saya ketika saya dalam kesusahan. Saya tidak akan melupakan perkara itu.

“Beliau seorang pemimpin yang rendah diri dan tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya. Semoga roh beliau dicucuri rahmat.

“Kita kehilangan seorang pemimpin yang sangat disayangi, bertanggungjawab dan pemurah dalam membantu masyarakat,” katanya dihubungi.

Bung Moktar yang juga Ketua Umno Sabah meninggal dunia pada malam Khamis, hanya seminggu selepas berjaya mempertahankan kerusi Lamag dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17.