Ratusan Rakyat Sabah Hadir Himpunan Solidariti Global Sumud Flotilla di Masjid Negeri

Ratusan Rakyat Sabah Hadir Himpunan Solidariti Global Sumud Flotilla di Masjid Negeri

0
SHARE

KOTA KINABALU, 3 Oktober – Hampir 200 rakyat Sabah berhimpun di perkarangan Masjid Negeri Sabah hari ini selepas menunaikan solat Jumaat dan solat hajat sebagai tanda solidariti demi keselamatan sukarelawan Malaysia serta seluruh pasukan Global Sumud Flotilla (GSF).

Himpunan yang berlangsung secara aman itu menyaksikan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), aktivis kemanusiaan dan orang ramai yang prihatin terhadap misi kemanusiaan antarabangsa tersebut.

Solat hajat dipimpin oleh imam Masjid Negeri, diikuti dengan doa khusus memohon perlindungan kepada Allah SWT agar para sukarelawan diberi keselamatan, kekuatan dan kejayaan dalam menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan.

Yang Dipertua IKRAM Sabah, Prof. Dr. Zainal Arifin Mustapha

Yang Dipertua IKRAM Sabah, Prof. Dr. Zainal Arifin Mustapha, menegaskan bahawa himpunan ini bukan sahaja simbol solidariti, malah membawa mesej kesedaran yang lebih meluas kepada seluruh masyarakat.

“Aspirasi kita jelas, untuk menyatakan solidariti terhadap sukarelawan Malaysia dan pasukan GSF. Kehadiran hampir 200 orang hari ini adalah bukti bahawa rakyat Sabah peka dan prihatin.

“Tetapi yang lebih penting, himpunan ini membawa mesej kesedaran bahawa isu kemanusiaan adalah tanggungjawab bersama,” katanya ketika ditemui selepas himpunan.

Himpunan solidariti ini diakhiri dengan laungan semangat dan doa berterusan agar misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla dipermudahkan serta berjaya mencapai matlamatnya.

Sebelum ini, media melaporkan semua sukarelawan warga Malaysia yang ditahan Israel ketika menyertai misi GSF ke Gaza, berada dalam keadaan selamat dan sihat serta akan dihantar pulang melalui negara ketiga.

Misi GSF disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara termasuk Malaysia belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel.

Ia membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan berterusan oleh rejim Zionis.

Terbaru, lapan rakyat Malaysia kini dalam perjalanan ke Gaza melalui jalan laut dalam inisiatif gelombang ketiga Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang berlepas dari Itali, kelmarin.

FFC yang menggabungkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pelbagai negara termasuk Malaysia disertai seramai 94 individu melibatkan kru kapal, wartawan tempatan dan antarabangsa, pakar perubatan, Ahli Parlimen, aktivis dan ahli FFC sendiri.

Delegasi Malaysia yang menyertai misi itu adalah Dr. Maziah Mohammad; Prof. Emeritus Dr. Mohd. Alauddin Mohd. Ali; Dr. Fauziah Hassan; Dr. Hafiz Sulaiman; Dr. Ili Syakira Mohd. Suhaimi; Syafik Shukri Abdul Jalil; Prof. Dr. Mohd. Afandi Salleh; Dr. Noorhasyimah Ismail dan Norsham Abu Bakar.