KOTA KINABALU: Cadangan Kerajaan Persekutuan untuk memisahkan peranan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya (PP) disifatkan sebagai langkah positif, tetapi masih belum mencukupi untuk memastikan kebebasan badan kehakiman sepenuhnya, kata Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan.
Beliau berkata walaupun pemisahan itu penting untuk mengelak konflik kepentingan serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan, perhatian juga perlu diberikan kepada kedudukan hakim Mahkamah Majistret dan Sesyen.
“Pada masa ini, mereka masih berada di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) yang melibatkan pegawai eksekutif. Ini membuka ruang pengaruh eksekutif terhadap mahkamah bawahan.
“Untuk memastikan kebebasan sebenar, hakim dan majistret wajar diletakkan sepenuhnya di bawah badan kehakiman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Jeffrey, pelantikan dan tatatertib bagi mahkamah bawahan seharusnya dipantau oleh Ketua Hakim Negara serta hakim kanan, selaras dengan amalan terbaik antarabangsa.
“Pemisahan peranan AG dan PP bersama penempatan mahkamah bawahan di bawah kuasa kehakiman adalah dua langkah penting yang perlu digerakkan serentak bagi menjamin keadilan yang bebas, adil dan diyakini rakyat,” tegasnya.