PENAMPANG, SABAH – Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony menerima keputusan bekas timbalannya merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim untuk meninggalkan parti itu.
Pada masa yang sama, Peter menyatakan kekesalannya susulan Juil membuat keputusan tersebut tanpa berbincang dengan pihak parti.
“Kita lihat dari pengakuan beliau bahawa sebelum ini beliau keluar dari parti ini setelah berbincang dan mendapat restu daripada parti.
“Tapi sebenarnya perkara itu tidak berlaku dan diperingkat parti. Kita tidak pernah merestui mahupun berbincang mengenai perkara ini seperti yang didakwa oleh beliau.
“Beliau tidak sama sekali berbincang dengan saya mahupun dengan parti mengenai keputusan beliau keluar dari KDM jadi kita pun amat terkejut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi sidang media yang diadakan bertempat di ibu pejabat parti KDM, di sini, hari ini.
Peter yang merupakan ADUN Melalap itu menyifatkan sebab yang diumumkan Juil keluar dari parti KDM kerana disebabkan dana sedangkan beliau dan ADUN Bandau, Datuk Wetrom Bahanda juga belum menerima sebarang peruntukan dari kerajaan negeri.
“Kita tidak tahu apa sebenarnya permasalahannya. Mungkin beliau menyatakan ia disebabkan peruntukan yang tidak diterima atau belum diterima oleh beliau.
“Kita ( bersama Wetrom ) juga belum menerima apa-apa peruntukan daripada Kerajaan negeri. Saya ingat itu bukanlah satu alasan tetapi apa pun keputusan beliau, ini terpulang kepada beliau untuk menguruskan hala tuju. Cuma fakta yang diberikan oleh beliau tidak masuk akal.
“Kita mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau kalau itu keputusan yang dipilih oleh beliau. Bagi kita tidak ada masalah kerana kerajaan Malaysia mengamalkan sistem demokrasi,” katanya.
Disamping itu, Peter dalam sidang media berkenaan juga menyatakan sokongan penuh pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dalam minggu ini.