Remaja Mengamuk dan Pukul Ahli Keluarga Ditahan Polis di Tawau

Remaja Mengamuk dan Pukul Ahli Keluarga Ditahan Polis di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Seorang remaja lelaki berusia sekitar 19 tahun ditahan polis selepas bertindak mengamuk dan mencederakan ahli keluarganya dalam kejadian di Kampung Titingan, Tawau, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, YDH ACP Jasmin Hussin, kejadian berlaku apabila suspek secara tiba-tiba bertindak agresif dengan menumbuk dinding rumah hingga berlubang sebelum memukul ibu serta adik-beradiknya.

Kejadian itu menyebabkan mangsa tampil membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan diri dan keluarganya.

“Sehubungan dengan kes amuk dan mencederakan ahli keluarga tersebut, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau telah mengesan dan berjaya menahan suspek dalam satu serbuan di kawasan Kampung Titingan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Suspek kini dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan kecederaan serta kerosakan harta benda.

ACP Jasmin turut mengingatkan masyarakat agar segera melaporkan sebarang bentuk keganasan atau ancaman dalam rumah tangga bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil dengan segera demi keselamatan semua pihak.