Rumah Bergegar, Penduduk Austral Park Desak Henti Kerja Cerucuk

Rumah Bergegar, Penduduk Austral Park Desak Henti Kerja Cerucuk

0
SHARE

KOTA KINABALU: Penduduk di Taman Austral Park, Kepayan Ridge di sini melahirkan kebimbangan terhadap kerja-kerja cerucuk di sebuah tapak pembangunan komersial berhampiran yang didakwa menyebabkan gegaran kuat sehingga menjejaskan struktur rumah mereka.

Sejak kerja pembinaan itu dimulakan hampir dua tahun lalu, penduduk mendakwa berlaku gegaran kuat yang menyebabkan dinding bergetar dan perabot bergoyang.

Mereka bimbang keretakan pada struktur rumah akan berlaku sekiranya aktiviti berkenaan diteruskan.

Selain gegaran, penduduk turut mengadu berlaku pencemaran habuk dan bau diesel yang kuat, selain kerja dijalankan hingga lewat malam termasuk pada hujung minggu serta cuti umum tanpa pemantauan daripada pihak berkuasa tempatan.

Seorang penduduk berkata mereka kini bimbang keselamatan keluarga terancam sekiranya kerja cerucuk terus dilakukan tanpa kawalan.

“Rumah kami bergegar setiap kali kerja cerucuk dijalankan. Ini bukan sekadar gangguan, tetapi ancaman keselamatan,” katanya.

Penduduk mendakwa projek pembangunan itu diluluskan tanpa sebarang perundingan awam dan tiada laporan penilaian keselamatan dikemukakan kepada mereka sebelum pembinaan dimulakan.

Mereka menuntut campur tangan segera pihak berkuasa bagi menghentikan semua kerja cerucuk sehingga pemeriksaan struktur bebas dapat dijalankan.

Penduduk turut meminta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengeluarkan perintah henti kerja sementara terhadap projek berkenaan, menjalankan pemantauan tahap gegaran serta mengadakan sesi dialog antara penduduk, DBKK dan pemaju.

Mereka juga mahu satu mekanisme pampasan diwujudkan bagi menampung sebarang kerosakan harta yang dialami.

Menurut penduduk, aduan telah dibuat kepada DBKK dan Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), namun tiada sebarang maklum balas diterima walaupun perkara itu telah dimaklumkan kepada Pejabat Ketua Menteri.

Kontroversi projek itu turut dikaitkan dengan isu penukaran status tanah di kawasan berkenaan yang asalnya diperuntukkan sebagai kawasan lapang di bawah Rancangan Pembangunan Kepayan Ridge.

Penduduk bimbang tindakan tidak telus dan kelemahan penguatkuasaan akan menjadi contoh buruk kepada projek pembangunan masa depan.

“Kami tidak menolak pembangunan, tetapi ia tidak seharusnya mengorbankan keselamatan dan hak penduduk,” kata jurucakap penduduk Ronald Cooke.