Saman Fitnah RM1.5 Juta Terhadap Tandiko Dalusin Tetap Diteruskan Walaupun Sokong GRS

Saman Fitnah RM1.5 Juta Terhadap Tandiko Dalusin Tetap Diteruskan Walaupun Sokong GRS

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Datuk Zulkarnain Mahdar menegaskan bahawa tindakan saman fitnah sivil berjumlah RM1.5 juta yang difailkan terhadap Tandiko Dalusin akan diteruskan tanpa sebarang kompromi, meskipun individu berkenaan kini secara terbuka menyatakan sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menurut beliau, tindakan undang-undang tersebut langsung tidak mempunyai kaitan dengan pendirian politik semasa mana-mana pihak, sebaliknya berpunca daripada dakwaan fitnah serius yang didakwa dilakukan secara berulang kali terhadap beliau, melibatkan penyebaran kandungan melalui beberapa platform media sosial termasuk YouTube, Facebook dan TikTok.

“Undang-undang tidak tunduk kepada sokongan politik. Fitnah tetap fitnah, dan ia mesti dijawab melalui proses perundangan,” tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Fitnah Berulang Jejaskan Reputasi dan Maruah:

Zulkarnain menjelaskan bahawa kandungan yang disiarkan sebelum ini didakwa bersifat serius, berulang dan terancang, sehingga menjejaskan reputasi, kredibiliti serta nama baik beliau secara terbuka, selain mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

Beliau menegaskan bahawa sebarang cubaan menggunakan sokongan politik sebagai perisai untuk mengelak tindakan undang-undang adalah tindakan songsang yang mencabul prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang.

Dua LOD Dihantar, Namun Gagal Diserahkan:

Beliau turut mendedahkan bahawa peguamnya, Tetuan Boestamam Ahmad & Co, telah mengambil langkah awal secara berhemah dengan mengemukakan dua Surat Tuntutan (Letter of Demand, LOD).

Tetuan Boestamam Ahmad & Co, telah mengambil langkah awal secara berhemah dengan mengemukakan dua Surat Tuntutan (Letter of Demand, LOD) terhadap Tandiko Dalusin…

LOD pertama telah dihantar seawal bulan Mei lalu, diikuti LOD kedua pada bulan Ogos 2025, kedua-duanya dikeluarkan oleh firma guaman berkenaan. Namun, menurut beliau, kedua-dua Surat Tuntutan tersebut telah dipulangkan semula ke pejabat guaman selepas cubaan penyerahan melalui surat berdaftar ke alamat terakhir individu terbabit di Seremban gagal sepenuhnya, sekali gus menimbulkan persoalan serius mengenai keengganan pihak berkenaan memberikan kerjasama serta kegagalan bertanggungjawab terhadap dakwaan fitnah yang dihadapi.

Pihak peguam sehingga kini masih meneruskan usaha menjejaki Tandiko Dalusin dan berharap pemimpin GRS yang menjemput beliau menyertai GRS dapat membantu bagi tujuan penyerahan LOD, demi memastikan proses undang-undang dapat berjalan secara teratur dan adil.

Rekod Politik Lampau Tidak Boleh Dipadam:

Untuk rekod, Tandiko Dalusin yang juga dikenali sebagai Atan Leecas sebelum ini dikaitkan dengan Parti Warisan Sabah dan dikenali sebagai antara individu yang aktif dalam kempen digital menyerang kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta barisan kepimpinan GRS.

Tandiko Dalusin yang juga dikenali sebagai Atan Leecas…

Zulkarnain menegaskan bahawa pertukaran haluan politik tidak memadamkan rekod lampau atau menggugurkan tanggungjawab undang-undang, khususnya apabila melibatkan dakwaan fitnah yang masih belum dijawab melalui saluran perundangan.

Teguran Keras Kepada GRS:

Dalam kenyataan tegas itu, Zulkarnain mengingatkan bahawa GRS tidak seharusnya dilihat seperti sebuah supermarket politik’, di mana individu yang sebelum ini lantang memfitnah dan menyerang kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor diberikan layanan istimewa serta ‘karpet merah’ untuk menyertai GRS, selepas gabungan itu berjaya membentuk kerajaan negeri Sabah dengan prestasi yang cemerlang.

Beliau menegaskan bahawa tindakan sedemikian bukan sahaja mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan rakyat, malah merendahkan nilai perjuangan pemimpin serta penyokong GRS yang setia mempertahankan gabungan itu ketika ia diserang secara terbuka sebelum ini.

“Kegagalan membuat tapisan sewajarnya bukan sahaja berisiko mencetuskan liabiliti politik, malah boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap gabungan,” katanya.

Isu Tular Diserah Kepada Pihak Berkuasa:

Mengulas isu-isu tular berkaitan latar belakang peribadi Tandiko yang pernah beredar sebelum ini, Zulkarnain menegaskan bahawa perkara tersebut bukan bahan polemik politik, sebaliknya wajar diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa berkaitan untuk disiasat mengikut peruntukan undang-undang.

Beliau menegaskan fokus beliau ketika ini adalah menegakkan kebenaran dan mempertahankan maruah diri melalui proses perundangan, tanpa sebarang kompromi politik.

PENAFIAN:
Artikel ini merupakan tulisan asal penulis dan tidak mencerminkan pendirian atau pandangan rasmi SabahNews. SabahNews hanya menyiarkan artikel ini sebagaimana diterima untuk tujuan makluman dan perkongsian kepada umum.