Semporna Diperkasa Sebagai Hab Perikanan, Rumpai Laut Sabah

Semporna Diperkasa Sebagai Hab Perikanan, Rumpai Laut Sabah

0
SHARE

SEMPORNA: Kerajaan Negeri terus komited memperkukuh sektor perikanan dan industri rumpai laut di Semporna bagi meningkatkan pendapatan masyarakat setempat serta memperluas potensi ekonomi berasaskan sumber laut.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, Semporna mempunyai khazanah laut yang besar termasuk sumber ikan tuna berpotensi tinggi untuk pasaran eksport, namun masih memerlukan kemudahan pendaratan dan pembungkusan yang lebih sistematik.

Semporna memiliki khazanah laut yang sangat besar, termasuk ikan tuna yang berpotensi untuk dieksport, namun kita masih kekurangan kemudahan pendaratan dan pembungkusan yang teratur,” katanya ketika merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Semporna 2026, di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, cadangan pembinaan jeti pendaratan ikan kini sedang diperhalusi bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Kementerian Ekonomi bagi memastikan hasil laut tempatan dapat dipasarkan dengan nilai lebih tinggi.

Menurutnya, kementerian turut mengenal pasti dua tapak strategik di daerah itu yang sesuai dibangunkan sebagai pusat pendaratan ikan.

Selain sektor perikanan, Jamawi berkata, industri rumpai laut di Semporna juga mempunyai potensi besar berikutan permintaan tinggi di pasaran antarabangsa termasuk Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun.

“Produk rumpai laut dari Semporna telah menembusi pasaran ke Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun, namun kita masih kekurangan bekalan mentah daripada pengusaha tempatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan lebih ramai penduduk menceburi industri berkenaan dengan jaminan sokongan kerajaan termasuk bantuan infrastruktur seperti pelantar pengeringan dan pagar perlindungan.

Jamawi turut menegaskan kepentingan menjaga keseimbangan ekosistem marin khususnya habitat penyu yang menjadi antara tarikan utama pelancongan di Semporna.

“Kita tidak mahu aktiviti penternakan rumpai laut menjejaskan habitat penyu. Sebab itu kita sediakan sistem pagar khas supaya kedua-dua sektor ini dapat berkembang secara seimbang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata kementeriannya akan terus memperluas aktiviti pertanian lain termasuk tanaman pisang, kelapa pandan, mangga dan ubi kayu bagi memenuhi permintaan sektor pelancongan yang semakin berkembang di daerah berkenaan.

Katanya, kehadiran sehingga 2,000 pelancong setiap hari membuka peluang besar kepada petani, penternak dan nelayan tempatan untuk membekalkan hasil segar.

“Jangan biarkan peluang ini diambil sepenuhnya oleh pihak luar. Hasil pertanian dan perikanan Semporna perlu menjadi pilihan utama,” tegasnya.

Beliau turut memaklumkan akan kembali ke Semporna dalam tempoh tiga bulan bagi menilai keperluan lanjut komuniti nelayan serta memastikan semua perancangan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Terdahulu, Jamawi mengadakan lawatan ke Pulau Bum Bum bagi meninjau cadangan menaik taraf kemudahan perikanan serta projek berkaitan di bawah kementeriannya.

Mengulas sambutan Kaamatan, beliau berkata perayaan itu bukan sahaja simbol hasil pertanian, malah boleh diraikan sebagai simbol “menuai hasil laut” bagi masyarakat Semporna.

Beliau turut memuji semangat perpaduan masyarakat pelbagai kaum di daerah itu yang terus menyemarakkan sambutan Kaamatan walaupun majoriti penduduk bukan daripada etnik Kadazan Dusun dan Murut.