Setiap Institusi Harus Baiki Tatakelola Kewangan – Arifin

Setiap Institusi Harus Baiki Tatakelola Kewangan – Arifin

0
SHARE
Arifin
Lima buah pusat pengajian Al-Quran bergambar kenangan bersama-sama Arifin, Ruslan serta pengurusan PBNS, MUIS dan Jabatan Audit Negara Negeri Sabah ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Semua pentadbir institusi terutama agensi kerajaan perlu memberi penekanan terhadap penambahbaikan dan tatakelola kewangan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pengurusan kewangan yang cekap dan telus amat penting terutama kepada agensi-agensi Islam di negeri ini.

“Tugas ini merupakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita dan mesti bermula daripada diri kita sendiri.

“Perkara ini merupakan asas penting bagi memastikan proses penerimaan dan agihan kewangan menepati semua kehendak syarak serta peraturan kewangan yang ditetapkan.

“Perancangan tatakelola yang konkrit dengan menatijahkan ketelusan, akauntabiliti, keterangkuman dan keberkesanan proses kewangan mampu mewujudkan pengurusan yang baik dan telus,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Watikah Ahli Lembaga Pengarah dan Majlis Penyerahan Sijil Ketua Audit Negara bagi Penyata Kewangan Perbendaharaan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) Tahun 2022 di Tanjung Aru, pada Jumaat.

Menurut beliau, tatakelola yang baik bukan terhasil dengan sendiri atau secara kebetulan, sebaliknya adalah perancangan dan usaha gigih pihak pengurusan serta kakitangan institusi tersebut bagi merealisasikannya.

Beliau yang juga Exco Agama dan Exco Pendidikan Negeri Sabah turut menyarankan agar PBNS, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan agensi-agensi agama Islam di negeri ini untuk bersama menjalinkan kerjasama bersama agensi sektor korporat persekutuan dan negeri dalam menerokai peluang-peluang perolehan baharu.

Pada majlis tersebut beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan dan kakitangan PBNS kerana berjaya mematuhi proses pengauditan kewangan sehingga berjaya memperolehi Sijil Ketua Audit Negara bagi Penyata Kewangan PBNS Tahun 2022.

Turut diadakan adalah Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah PBNS yang baru serta penyampaian sumbangan kewangan kepada lima buah Sekolah Tahfiz dan Madrasah Islam.

Hadir sama, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam, Yang Dipertua MUIS Datuk Yahya Hussin, Pengerusi PBNS Datuk Omar Rasul As Salam Syah Datuk Sulaiman Omar, Ketua Pegawai Eksekutif PBNS Ismail Mohd Adnan serta Timbalan Pengarah Audit Negara Negeri Sabah Halimuddin Chongee. — JABATAN PENERANGAN SABAH