PUTATAN: Pembangunan sukan e-Sport di Putatan berpotensi meningkatkan kemahiran digital dalam kalangan belia serta membuka peluang keusahawanan dalam industri berasaskan teknologi.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, e-Sport kini bukan sekadar aktiviti hiburan, tetapi telah berkembang menjadi industri bernilai tinggi yang merangkumi pembangunan IT, penciptaan kandungan dan ekonomi digital.
“Kita mahu Putatan turut mengambil bahagian dalam perkembangan ini dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri digital pada masa hadapan,” katanya.
Menurut beliau, e-Sport bukan sahaja mampu menjana pendapatan melalui penciptaan kandungan dan penyertaan pertandingan, malah turut diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai platform yang memupuk perpaduan, kerjasama berpasukan dan semangat kesukanan.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pertandingan e-Sport Belia Tanjung Keramat di Dewan Mini Pasir Putih, hari ini.
Shahelmey berharap program seumpama itu dapat menjadi platform kepada belia tempatan untuk terlibat secara aktif dalam sukan digital sambil menghindari aktiviti tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah dan budaya lepak.
“Usaha berterusan seperti ini amat digalakkan bagi melahir dan mengenal pasti bakat baharu dalam arena e-Sport di Putatan,” katanya.






