KOTA KINABALU, SABAH – Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin mengsahkan beliau sihat dan masih berada di Kuala Lumpur selepas menghadiri prosiding Mahkamah pada Jumaat lepas.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran yang dimuat di laman media sosial Facebook.
“Kepada semua rakan dan juga musuh politik, jangan bimbang. Saya kekal di posisi yang tenang dan masih sihat dalam perlindungan Allah,” katanya…
Menurut Pengerusi Barisan Nasional Sabah itu, beliau akan bersama rakyat dan penyokong Barisan Nasional di Kota Belud pada Sabtu ini bagi melancarkan program Gelombang Biru dan Jentera Pilihanraya Kota Belud dan Tuaran.
Sementara itu, Setiausaha Akhbarnya Jaafar Abdul Wahid berkata sejak petang Ahad, beliau tidak henti-henti menerima panggilan dan WhatsApp dari kalangan beberapa pemipin dan rakan-rakan Bung.
Ianya berkenaan gambar tular di media sosial yang menunjukkan Bung terbaring di atas katil sambil diziarahi Setiuasha Agung Umno, Datuk Ahmad Maslan dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Jafry Arifin seolah memberikan gambaran Bung sakit dan sedang menerima rawatan.
“Gambar tersebut merupakan gambar lama sekitar tahun 2015 ketika Bung balik dari menjalani rawatan buah pinggang di China.
“Ia sengaja disebarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dengan tujuan untuk menjejaskan reputasi Bung dalam kerjaya politiknya,” jelas Jaafar.
Sehubungan dengan itu beliau meminta orang ramai agar tidak mempercayai berta palsu yang ditularkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab, malah menurut Jaafar, Bung telah mengsahkan sendiri di akaun media sosialnya yang beliau sihat.





