SMJ 2.0 Sasar Lonjakan Daya Saing, Produktiviti dan Nilai Ekonomi Sabah

SMJ 2.0 Sasar Lonjakan Daya Saing, Produktiviti dan Nilai Ekonomi Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melancarkan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026–2030 dengan sasaran meningkatkan daya saing, produktiviti serta nilai ekonomi negeri seiring cabaran global yang semakin kompleks.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, SMJ 2.0 merupakan kesinambungan SMJ 1.0 yang sebelum ini memfokuskan pemulihan dan penstabilan pasca pandemik serta Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.

“SMJ 2.0 bukan sekadar pelan pembangunan, tetapi komitmen kerajaan negeri untuk memimpin perubahan dalam dunia yang dipacu kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, perdagangan rentas sempadan dan persaingan global,” katanya ketika menyampaikan Amanat Ketua Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sabah dan merasmikan pelancaran SMJ 2.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Jumaat.

Menurut beliau, pelan itu dirangka menerusi libat urus menyeluruh melibatkan Kabinet Negeri, kementerian, pemain industri, golongan belia serta pelbagai lapisan rakyat bagi memastikan dasar yang digubal bersifat inklusif dan realistik.

Hajiji berkata, Belanjawan Negeri 2026 memperuntukkan RM12.02 bilion untuk membiayai 1,173 program dan projek pembangunan — tertinggi dalam sejarah Sabah — selari dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) dan aspirasi Malaysia MADANI.

Katanya, SMJ 2.0 turut mematuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi memastikan pembangunan mampan dan kesejahteraan sosial jangka panjang.

Pelan berkenaan, jelas beliau, berteraskan empat tonggak utama GRS iaitu Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United, dengan lima objektif utama: membina masyarakat bersatu dan aman; mengoptimumkan hasil negeri; mempelbagaikan ekonomi; meningkatkan ekonomi rakyat; serta membangunkan modal insan.

Hajiji berkata, SMJ 2.0 digerakkan melalui tiga teras utama iaitu Sektor Pertumbuhan Ekonomi (perindustrian, pelancongan dan pertanian), Pembangunan Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat (pendidikan, TVET, STEM dan digital), serta Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau.

Ketiga-tiga teras itu disokong tumpuan kepada Ekonomi Biru, pendigitalan berasaskan AI dan pembangunan inklusif, selain dipacu lima pemboleh daya utama merangkumi kemampanan fiskal, kemudahan kewangan, keberkesanan perkhidmatan, tadbir urus berintegriti dan kerajaan digital.

Dalam sektor perindustrian, beliau memaklumkan Sabah berjaya menarik pelaburan puluhan bilion ringgit termasuk projek Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd bernilai RM31 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) yang dijangka mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Selain itu, kerajaan akan mempercepat pembangunan dan naik taraf taman perindustrian strategik di KKIP, SOGIP dan POIC Lahad Datu, merangka Pelan Induk Perindustrian Kudat berteraskan Ekonomi Biru serta membangunkan dua taman industri baharu di Kota Belud–Kota Marudu dan Beaufort–Kimanis.

Bagi sektor pelancongan, Hajiji berkata hampir 10 juta pelancong direkodkan dalam tempoh lima tahun, mencerminkan pemulihan yang memberangsangkan. Kerajaan akan memberi fokus kepada pelancongan berkualiti tinggi menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Visit Sabah Year 2027.

Sementara itu, sektor pertanian kekal sebagai teras strategik SMJ 2.0 dengan peruntukan RM580.45 juta di bawah RMK-13, termasuk sasaran meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras daripada 30 peratus kepada 60 peratus menjelang 2030 serta pengukuhan subsektor ternakan dan perikanan melalui Ekonomi Biru Sabah.

Hajiji menegaskan kejayaan SMJ 2.0 bergantung kepada kecekapan, integriti dan disiplin penjawat awam sebagai nadi utama pelaksanaan dasar, bagi memastikan pembangunan negeri benar-benar diterjemahkan kepada hasil yang dirasai rakyat.