SPR Seru 1.74 Juta Pengundi Sabah Tunaikan Tanggungjawab Esok

SPR Seru 1.74 Juta Pengundi Sabah Tunaikan Tanggungjawab Esok

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Menjelang Hari Mengundi PRU Dewan Undangan Sabah ke-17 esok, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berharap 1,742,934 pengundi berdaftar akan keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

SPR berkata semua peralatan mengundi termasuk peti undi, dakwat, kertas undi dan lain-lain telah diperiksa dan diagihkan ke 882 Pusat Mengundi yang menempatkan 3,559 saluran.

Seramai 28,533 petugas akan memastikan kelancaran proses pengundian.

Bagi kawasan dengan ramai pemilih dan banyak calon bertanding, SPR menggunakan lebih satu peti undi kerana saiz kertas undi yang besar.

Pengundi digalakkan datang mengikut masa yang dicadangkan dalam aplikasi MySPR Semak bagi mengelakkan kesesakan, namun masih boleh mengundi dari 7.30 pagi hingga 5.30 petang.

Mereka diingatkan membawa kad pengenalan serta semakan maklumat mengundi masing-masing.

Pengundi juga dinasihatkan membuat semakan awal maklumat pusat mengundi di portal MySPR Semak atau melalui talian hotline SPR.

SPR turut mengingatkan bahawa tempoh rasmi berkempen tamat pada 11.59 malam ini dan semua bentuk rayuan undi, termasuk di media sosial, mesti dihentikan.

Parti atau calon juga dilarang membuka atau menyelenggara barung pada Hari Mengundi.

Di saluran mengundi, penggunaan telefon bimbit tidak dibenarkan dan pengundi perlu meletakkannya di tempat yang disediakan ketika menerima kertas undi.

Pengundi, calon dan petugas juga dilarang memakai atau membawa apa-apa material yang memaparkan lambang, nama atau slogan parti pada Hari Mengundi.

SPR menegaskan semua pihak perlu mematuhi undang-undang pilihan raya bagi memastikan proses berjalan lancar dan aman.