HKN 2023 Mulai 21 Julai Depan

HKN 2023 Mulai 21 Julai Depan

0
SHARE
Juhar
Tun Juhar(kanan) berbual mesra bersama Ewon (kiri) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Hari Koperasi Negara (HKN) 2023 bakal diadakan mulai 21 hingga 23 Julai depan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata HKN merupakan program tahunan anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang diadakan setiap bulan Julai dengan pelbagai pengisian program di seluruh negara.

“Pada tahun ini, Sabah buat julung kalinya terpilih menjadi tuan rumah bagi penutupan sambutan berkenaan dan akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

“Pihak kami juga sudah memanjangkan jemputan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk hadir bagi merasmikan majlis penutupan sambutan berkenaan,” katanya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, pada Rabu.

Tujuan kunjungan berkenaan adalah bagi memaklumkan dan seterusnya menjemput Tun Juhar hadir menyempurnakan perasmian Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi dan Hari Koperasi Negara (HKN) 2023 sempena Bulan Koperasi Kebangsaan 2023 pada 20 Julai ini.

Menurut Ewon, Tun Juhar dijangka hadir merasmi dan menyampaikan dua anugerah utama iaitu Anugerah Tokoh Koperasi Negara dan Anugerah Koperasi Premier Negara pada majlis berkenaan.

Seramai 5,000 pengunjung dijangka menghadiri majlis tersebut dengan pelbagai pengisian antaranya ekspo dan pameran daripada gerakan koperasi oleh 200 pempamer produk dan perkhidmatan dari dalam dan luar negara, Forum Perdana, Pameran Kerjaya, Padan Niaga dan Jualan Murah MADANI.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Suriani Datuk Ahmad, Naib Pengerusi Eksekutif (Operasi dan Kawal Selia) SKM, Siti Azlin Ahmad Dauta, Naib Pengerusi Eksekutif (Dasar dan Pembangunan) SKM, Amran Abd Kadir, Pengarah SKM Negeri Sabah, Matias Kundapin dan Pengarah Bahagian Pembangunan Koperasi SKM, Mohd Firdaus Hussin. — JABATAN PENERANGAN SABAH