PUTATAN, SABAH – Calon GRS bagi Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya berikrar meneruskan aspirasi teras abangnya, penyandang Ir. Datuk Shahelmey Yahya, sekiranya diberi mandat esok.
Shah Alfie, akauntan bertauliah dari Sipanggil, berkata tumpuannya ialah meningkatkan kualiti hidup penduduk melalui keselamatan komuniti, program belia dan keusahawanan, serta pendidikan.
Beliau menegaskan projek naik taraf di Tanjung Keramat seperti jalan raya, lampu solar, air dan elektrik memerlukan kerajaan stabil untuk diteruskan.
Shahelmey berkata manifesto 2020 menjadi asas kempen adiknya.
“Kemajuan datang daripada kestabilan. Pilihan lima tahun akan datang di tangan anda,” katanya sambil menyifatkan rekod GRS dalam menaik taraf jalan luar bandar dan projek tenaga sebagai bukti jelas.
Beliau turut mengingatkan pengundi agar tidak menyokong parti yang menghentikan projek kerana dendam.
“Mereka gagal ketika diberi peluang dan masih bermimpi memerintah,” katanya pada majlis kemuncak di Kg Meruntum.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyokong penuh Shah Alfie, menggesa pengundi menolak parti yang hanya pandai berretorik.
“Dulu mereka pegang jawatan besar, tapi apa hasilnya? Sekarang bising pasal jalan dan air, sedangkan GRS sedang baiki dari kampung hingga ke daerah,” katanya.

Hajiji menonjolkan pencapaian GRS seperti peluasan Rumah SMJ, peningkatan bantuan kebajikan dan pegangan ekuiti lebih tinggi dalam projek Petronas.
Beliau menegaskan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan penting untuk pembangunan Sabah.
“Pembangunan perlukan kerjasama, bukan bergaduh. Kalau ada yang perlu diselamatkan, itu Sabah daripada PATI,” katanya.
Hajiji yakin kempen GRS kali ini paling mantap dan optimis kerajaan dapat dibentuk menjelang tengah malam esok.
Shah Alfie menghabiskan jam terakhir berkempen dari rumah ke rumah, berkata sambutan sepanjang dua minggu kempen adalah positif dan semakin meningkat. Beliau juga mahu berehat secukupnya untuk hari pengundian.






