Stabiliti Politik Sabah Bermula Dengan Solidariti GRS

Stabiliti Politik Sabah Bermula Dengan Solidariti GRS

0
SHARE

KOTA BELUD: Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menegaskan bahawa kestabilan politik Sabah hanya boleh dicapai melalui solidariti dan penyatuan parti-parti tempatan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, perpaduan adalah formula utama untuk memastikan Sabah terus bergerak ke hadapan dalam landasan pembangunan yang konsisten.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Jentera Pilihan Raya PBS N11 Kadamaian di sini, sambil menyatakan bahawa walaupun sesebuah parti memiliki calon terbaik, tanpa kerja berpasukan dan kerjasama padu, kejayaan politik tidak akan dapat dicapai.

“Kredibiliti, tanggungjawab dan kerja bersepadu adalah kunci kejayaan dalam politik,” tegasnya.

Menurut beliau, GRS ditubuhkan hampir empat tahun lalu melalui penyatuan PBS bersama Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), USNO, PHRS, LDP dan PCS sebagai strategi mengukuhkan pengaruh tempatan serta menjamin kesinambungan pembangunan Sabah.

Penyatuan ini katanya, membuktikan platform bersama bukan sahaja menguatkan sokongan rakyat, tetapi memperkukuhkan kestabilan pentadbiran negeri.

Dalam aspek pembangunan, Dr. Joachim menegaskan bahawa kerajaan negeri melalui agenda GRS komited melaksanakan program seperti Rumah Mesra SMJ serta memperluas akses bantuan pendidikan bagi membina modal insan yang lebih berkualiti.

Katanya, pentadbiran berjaya meningkatkan hasil negeri daripada kurang RM4 bilion kepada hampir RM8 bilion setahun, dengan rizab kini mencecah RM8.6 bilion.

Beliau berkata, kestabilan politik sangat penting dalam menarik pelabur asing, memastikan pelaksanaan projek infrastruktur utama serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

“Perpaduan politik membolehkan kita fokus tenaga dan sumber untuk rakyat, bukan kepada konflik politik,” jelasnya.

Dr. Joachim turut menegaskan komitmen PBS sebagai parti berpengalaman lebih 40 tahun dalam memperjuangkan hak rakyat Sabah untuk pembangunan yang lebih inklusif dan seimbang.

Menurut beliau, misi PBS tetap sama, iaitu membangunkan sekolah, meningkatkan fasiliti kesihatan, menambah baik jaringan infrastruktur serta memastikan manfaat pembangunan sampai kepada seluruh rakyat.