Sulabayan Bukan Medan Percubaan Politik Parti Luar – Azlan Hisham

Sulabayan Bukan Medan Percubaan Politik Parti Luar – Azlan Hisham

0
SHARE

KOTA KINABALU, 22 Oktober – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disaran menampilkan calon tempatan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulabayan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 bagi memastikan suara rakyat setempat terus diperjuangkan secara berkesan di peringkat negeri.

Naib Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah Sulabayan, Azlan Hisham berkata langkah itu penting bagi menjamin kepimpinan di kawasan tersebut kekal berpaksikan perjuangan rakyat akar umbi, bukan menjadi medan percubaan politik bagi parti luar.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media yang memetik sumber menyatakan Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka hanya diberikan satu kerusi untuk ditandingi di Sulabayan pada PRN akan datang.

“Sulabayan merupakan penempatan utama masyarakat rumpun Bajau yang mempunyai keunikan budaya serta keperluan sosioekonomi tersendiri.

“Justeru, calon yang diketengahkan perlu benar-benar memahami realiti tempatan bagi membela kepentingan masyarakat dengan lebih berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azlan, parti luar seperti Amanah tidak mempunyai struktur akar umbi mahupun cawangan aktif di Sulabayan, sekali gus menyukarkan mereka memahami isu sebenar serta aspirasi rakyat di kawasan itu.

“Kehadiran parti dari Semenanjung tidak membawa manfaat besar kerana mereka kurang memahami keperluan dan cabaran yang dihadapi rakyat Sulabayan.

Keutamaan harus diberikan kepada calon tempatan yang mampu bersaing dengan Warisan, memandangkan Sulabayan merupakan kawasan ketua pembangkang negeri,” katanya.

Azlan berkata, GRS mempunyai kekuatan jentera dan kepimpinan tempatan yang berwibawa serta berpotensi membawa suara rakyat secara lebih efektif di peringkat negeri.

“Pertarungan di DUN Sulabayan wajar kekal antara parti-parti lokal yang memahami latar dan keperluan sebenar rakyat Sabah.

“Masa depan Sulabayan mesti ditentukan oleh rakyatnya sendiri melalui calon tempatan yang memahami denyut nadi masyarakat,” tambah beliau.