KUALA LUMPUR: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi memperkenalkan syarat kesihatan baharu bagi musim Haji 1447H/2026M yang mengehadkan penyertaan kepada jemaah yang benar-benar sihat dan mampu menunaikan ibadah tanpa bantuan fizikal.
Menurut kenyataan Lembaga Tabung Haji (TH), jemaah yang menghidap penyakit kronik serius seperti kegagalan buah pinggang atau jantung, penyakit paru-paru atau hati kronik, gangguan kognitif atau pergerakan, kehamilan berisiko tinggi, jangkitan aktif, serta pesakit kanser yang sedang menerima rawatan tidak layak untuk menunaikan ibadah haji di bawah garis panduan baharu itu.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Mustakim Mohamad berkata, syarat kesihatan baharu itu akan dikuatkuasakan oleh TH dan menjadi keperluan wajib bagi jemaah Malaysia untuk mendapatkan visa haji mereka.
“Kesihatan yang baik kekal menjadi prasyarat utama dalam ibadah haji. Jemaah perlu memastikan tahap kesihatan berada pada tahap optimum bagi mengelakkan risiko kesihatan ketika berada di tanah suci,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menasihatkan bakal jemaah supaya membuat persediaan fizikal dan mental lebih awal memandangkan ibadah haji memerlukan ketahanan tinggi dengan tempoh masa yang panjang di bawah cuaca panas dan berdebu di Arab Saudi.
Dalam pada itu, bagi musim haji 2026, Tabung Haji tidak lagi akan mengendalikan Pusat Rawatan TH di Tanah Suci.
Sebaliknya, jemaah yang memerlukan rawatan lanjut akan dirujuk ke hospital kerajaan Arab Saudi dengan pemantauan berterusan daripada pakar kesihatan Malaysia.
Bagaimanapun, TH akan terus mengekalkan klinik kesihatan di semua penempatan jemaah di Makkah dan Madinah yang menyediakan rawatan pesakit luar dan perkhidmatan farmasi, dikendalikan oleh pegawai perubatan bertauliah daripada Kementerian Kesihatan (KKM).
Mustakim turut memaklumkan bahawa TH, dengan kerjasama KKM, akan menempatkan seramai 225 anggota kesihatan di Tanah Suci pada musim haji akan datang serta mempertimbangkan penggunaan kemudahan perubatan swasta jika diperlukan.
“TH kekal komited memastikan keselamatan, kesejahteraan dan keselesaan jemaah Malaysia menjadi keutamaan, termasuk dengan memperuntukkan sebahagian besar kuota petugas di Tanah Suci untuk kakitangan perubatan,” katanya.