Tiada Asas Hidupkan Semula Tuntutan Manila ke atas Sabah – Ketua Menteri

Tiada Asas Hidupkan Semula Tuntutan Manila ke atas Sabah – Ketua Menteri

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan tiada asas untuk menghidupkan semula tuntutan Manila ke atas Sabah, susulan kenyataan seorang senator Filipina berhubung perkara itu.

Beliau berkata, Sabah merupakan sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia dan tidak sepatutnya dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

“Sabah adalah sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia dan tidak patut dipertikaikan. Tidak perlu menjadikan perkara ini isu atau menggunakan krisis tenaga semasa untuk menghidupkan semula tuntutan-tuntutan lama,” katanya.

Hajiji berkata demikian ketika ditemui media pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.

Kira-kira 20,000 pengunjung hadir memeriahkan majlis berkenaan yang turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin.

Turut hadir ialah isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Juliah Salag serta Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif yang juga pengerusi utama penganjur.

Sebelum itu, Hajiji dan isteri menyampaikan sumbangan duit raya kepada golongan asnaf sebelum beramah mesra bersama tetamu yang hadir.

Dalam pada itu, beliau turut berharap rakyat Sabah terus hidup dalam suasana harmoni dan perpaduan.

“Harapan kami agar semua orang hidup dalam keharmonian supaya kita dapat terus meraikan semua majlis perayaan dengan aman,” katanya.

Majlis turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan hiburan termasuk nyanyian oleh Marsha Milan Londoh.