G57: Sabah, Sarawak Penyumbang Utama Petroleum Negara, Tidak Wajar Diesel Murah Dipersoalkan

G57: Sabah, Sarawak Penyumbang Utama Petroleum Negara, Tidak Wajar Diesel Murah Dipersoalkan

0
SHARE
Datuk Zulkarnain Mahdar, Pengerusi G57...

KOTA KINABALU: Harga diesel sekitar RM2.15 seliter di Sabah dan Sarawak tidak wajar dipersoalkan kerana ia merupakan keperluan asas, bukan keistimewaan, kata Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar.

“Diesel bukan pilihan, ia nadi kehidupan rakyat di Sabah dan Sarawak, daripada pengangkutan hingga penjanaan elektrik, terutama di luar bandar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan kos hidup yang lebih tinggi, keadaan infrastruktur mencabar serta kebergantungan kepada kenderaan diesel menjadikan dasar itu satu keperluan realistik.

Menurutnya, Sabah dan Sarawak juga penyumbang utama hasil petroleum negara dengan lebih separuh daripada RM775.2 bilion antara 2018 hingga 2024, namun hanya menerima sekitar lima peratus royalti.

“Jangan hanya lihat harga di pam, lihat siapa yang menyumbang dan siapa yang bergantung kepada diesel untuk terus hidup,” katanya.

Tambah beliau, naratif kononnya kedua-dua negeri menerima layanan istimewa adalah mengelirukan dan gagal memahami realiti sebenar di lapangan.

“Adalah tidak adil untuk menilai dari keselesaan bandar di Semenanjung, tanpa memahami kesukaran sebenar yang dihadapi rakyat di Sabah dan Sarawak setiap hari.

“Apa yang berlaku adalah satu bentuk penyesuaian dasar berdasarkan realiti geografi, keperluan rakyat serta sumbangan besar kedua-dua wilayah ini kepada ekonomi negara,” katanya.

Beliau menyeru semua pihak agar berhenti memainkan sentimen sempit dan mula melihat isu tersebut secara matang, berfakta dan adil.