“Tinggalkan perahu, bersama Kinabalu”

“Tinggalkan perahu, bersama Kinabalu”

0
SHARE

LAHAD DATU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi DUN Silam, Datuk Mizma Appehdullah menyeru pengundi agar membuat perubahan politik pada Pilihan Raya Umum Sabah ke-17 dengan meninggalkan Warisan dan menyokong GRS.

Beliau menegaskan bahawa kawasan Silam memerlukan wakil rakyat daripada kerajaan negeri untuk memastikan peruntukan dapat disalurkan.

“Cukup-cukuplah bagi kepada wakil rakyat pembangkang yang tak dapat berbuat apa-apa kerana mereka pembangkang,” katanya.

“Kali ini beranilah kita berubah. Kita tinggalkanlah perahu, kita bersama Gunung Kinabalu,” katanya ketika berucap di Himpunan Gergasi Jentera GRS DUN Silam hari ini.

Menurutnya, berada di blok kerajaan membolehkan lebih banyak pembangunan dibawa masuk.

“Apabila kita dinobatkan jadi wakil rakyat… kita akan mempunyai peruntukan yang banyak,” jelasnya.

Mizma turut merujuk Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Seri Yusof Apdal — yang mewakili Warisan dan turut bertanding di DUN Silam.

“Kita semua menghormati Yusof Apdal itu sebagai ahli parlimen, tapi untuk DUN berilah peluang kepada saya,” katanya.

Beliau berkata komitmen seorang ahli parlimen menyebabkan mereka kurang berada di kawasan.

“Sebab itu kita jarang-jarang nampak dia… bila sudah dekat pilihan raya rajin pula dia turun padang.”

Mizma turut mengingatkan penduduk supaya keluar mengundi awal kerana kemungkinan hujan pada hari pengundian.

“Ajaklah keluarga turun mengundi esok awal pagi… undilah nombor dua.

“Berilah mandat… lima tahun ini kalau saya tak boleh melakukan yang terbaik, anda boleh tolak saya,” ujarnya.

Mizma, calon nombor 2, berdepan saingan 9 penjuru terdiri daripada Sharif Musa Sharif Mabul (BN), Mohammad Yusof Apdal (Warisan), Borkes @ Balkis Kalinggalan (PN), Amat Kawoh @ Abd Rahman (BEBAS), Mohammad Enriquez (SAPP), Brahim Biesel (PIS), Mohd Syafiq Iqhmal Saharudin (PKS) dan Abdul Halim Gulam Hassan (PH).