KOTA KINABALU, SABAH – Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah membongkar aktiviti penjualan arak tanpa cukai di Tamparuli dengan nilai rampasan sebanyak RM 100,847.
Kontraban tersebut disorok sindiket dalam sebuah kedai makan yang ditutup sini.
Taktik mengaburi mata pihak berkuasa itu akhirnya dikesan dalam sebuah serbuan di mana 457 karton minuman keras pelbagai jenama dirampas kira-kita pukul 1.40 petang kelmarin.
Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, bertindak atas makluman awan, ‘Op Kontraban’ turut melihat seorang lelaki berumur 25 tahun ditahan.
“Hasil serbuan awal menemukan 54 karton minuman keras disimpan di dalam sebuah van yang dipandu suspek.
“Selepas ditunjuk arah oleh saspek, 123 karton pelbagai jenis minuman keras ditemui dalam restoran tersebut.
“Saspek kemudian membawa anggota PGA ke sebuah lagi kedai yang menyimpan 280 karton minuman keras,” kata Abduh.
Suspek dan rampasan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.