Wanita OKU Penglihatan Rentung Dalam Kebakaran Rumah Setinggan di Semporna

Wanita OKU Penglihatan Rentung Dalam Kebakaran Rumah Setinggan di Semporna

0
SHARE

SEMPORNA: Seorang wanita berusia 58 tahun maut selepas rentung dalam kebakaran melibatkan tujuh buah rumah setinggan di Kampung Perigi, lewat pagi, Sabtu.

Pusat Gerakan Operasi JBPM Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 11.12 pagi dan jentera dari BBP Semporna tiba di lokasi empat minit kemudian.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.57 pagi dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.05 petang.

“Keseluruhan kawasan kebakaran berkeluasan kira-kira 55 x 100 kaki terbakar 100 peratus,” kata seorang pegawai jurucakap agensi.

Katanya, mangsa, dikenali sebagai Munairaya Baluan, ditemui rentung di dalam bilik rumah pertama yang dipercayai terbakar.

Difahamkan beliau merupakan OKU penglihatan dan tinggal bersendirian ketika kejadian.

Seramai sembilan anggota bomba terlibat dalam operasi bersama bantuan agensi lain termasuk PDRM, APM, RELA, SESB dan Jabatan Air.

Punca kebakaran masih dalam siasatan.