Warga Emas 83 Tahun Masih Hilang, Operasi Pencarian Hari Kelima Diteruskan di...

Warga Emas 83 Tahun Masih Hilang, Operasi Pencarian Hari Kelima Diteruskan di Kota Belud

0
SHARE

KOTA BELUD: Seorang wanita warga emas berusia 83 tahun dilaporkan masih hilang selepas lima hari di kawasan Kampung Tambulion Laut, di sini, dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan melibatkan pelbagai agensi keselamatan.

Mangsa, Minun Kasim, dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat berada di kawasan kampung berkenaan pada Isnin (15 Dis) lalu, kira-kira jam 5.30 petang.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa hari berikutnya pada jam 7.30 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud digerakkan ke lokasi kejadian.

Operasi SAR hari kelima yang dijalankan pada Sabtu melibatkan seramai 12 anggota bomba, dibantu Unit K9 dengan seekor anjing pengesan, unit dron, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA serta kira-kira 45 penduduk kampung.

Komander Operasi, PBK I Thomas Bolu berkata, pencarian dijalankan mengikut lima sektor meliputi kawasan perumahan mangsa, kawasan kampung sekitar, muara Kuala Abai menggunakan dua bot, kawasan perkuburan Kristian di Tambulion Laut Badah serta Kampung Luminodup.

“Operasi dimulakan pada jam 8.21 pagi selepas taklimat di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dan ditangguhkan pada jam 6 petang selepas mangsa masih belum ditemui,” katanya.

JBPM memaklumkan operasi SAR akan disambung semula pada hari berikutnya, tertakluk kepada keadaan cuaca dan keselamatan pasukan di lapangan.

Sehingga kini, status mangsa masih belum dijumpai dan pihak berkuasa meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan agar tampil membantu siasatan.