LAHAD DATU: Polis Daerah Lahad Datu kini sedang mengesan seorang lelaki yang dikehendaki berhubung dengan kes di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Lelaki terbabit yang dikenali sebagai Arabain Hassan, berumur 43 tahun, dengan nombor kad pengenalan 820707-12-6007, beralamat terakhir di No. 66 Rancangan Apas, Balung, Batu 22, Jalan Apas, 91009 Tawau, telah gagal hadir ke mahkamah seperti diarahkan.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintenden Jimmy Panyau, waran tangkap telah dikeluarkan terhadap suspek setelah kegagalannya untuk hadir ke prosiding mahkamah berkaitan kes berkenaan.
“Polis memohon bantuan orang awam untuk menyalurkan sebarang maklumat yang boleh membantu mengesan suspek,” katanya dalam satu kenyataan media.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Arabain bin Hassan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Sin Shahriramadam Sahada di talian 019-372 8336 atau mengunjungi mana-mana balai polis berdekatan.
Polis memberi jaminan bahawa segala maklumat yang diterima akan dirahsiakan dan menyeru orang ramai agar bekerjasama bagi membantu kelancaran siasatan.






