KOTA KINABALU: Keputusan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menjalin semula kerjasama politik bersama Pakatan Harapan Plus (PHPlus) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah harus dilihat sebagai langkah strategik demi kestabilan politik negeri dan negara.
Bekas Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Aksyah Nasrah, menjelaskan bahawa tindakan Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS, bukanlah sesuatu yang mengejutkan, malah menunjukkan keprihatinan terhadap kestabilan yang telah goyah sejak insiden Langkah Kinabalu.
“Kerjasama ini bukan kelemahan, tetapi satu bentuk penghargaan terhadap pemimpin PHPlus yang menyokong GRS sebagai kerajaan negeri yang sah selepas pergolakan politik lalu dan ini tanda kita tahu membalas budi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau turut menempelak pihak pembangkang yang mengejek keputusan Hajiji, sambil menyifatkan kenyataan kononnya GRS takut bertanding solo sebagai tidak berasas.
“Sebenarnya, kenyataan untuk bertanding solo hanya dibuat jika GRS ditinggalkan oleh Sekretariat PH-BN Pusat. Tapi selepas lawatan Perdana Menteri ke Sabah, satu rundingan baharu antara GRS dan PHPlus telah dibuka. Jadi siapa sebenarnya yang takut?” tambahnya.
Timbul juga dakwaan kononnya berlaku perpecahan dalam GRS akibat keputusan kerjasama tersebut, namun, menurut beliau, perbezaan pandangan dalam kalangan pimpinan adalah perkara biasa dalam parti yang matang dan tidak wajar dianggap sebagai perpecahan.
“Berbeza pendapat bukan bermakna berpecah. Malah ia menunjukkan kematangan dan keterbukaan dalam GRS. Bandingkan dengan UMNO/BN yang Presidennya sendiri mengingatkan bahawa hanya satu ‘nakhoda’ dibenarkan – itu petanda ada masalah dalaman mereka sendiri,” katanya.
Dalam nada tegas, beliau menyeru ahli-ahli GRS untuk “dengar dan patuh” kepada keputusan pimpinan parti dan menumpukan perhatian kepada usaha memperkukuh jentera menjelang PRN.
“Jika bukan kerana sokongan PHPlus, mungkin GRS tidak akan menjadi teras kerajaan hari ini. Maka tidak salah kita berlapang dada dan terus membina kekuatan bersama,” jelasnya.
Aksyah sekali lagi menegaskan bahawa penubuhan GRS sendiri adalah bukti kompromi dan perpaduan parti-parti tempatan Sabah untuk memacu halatuju negeri ke hadapan.
“GRS menggambarkan pengorbanan ego parti-parti tempatan demi mewujudkan satu blok politik yang kuat. Dominasi 50 kerusi DUN yang akan ditandingi membuktikan kekuatan parti tempatan sebagai pemandu utama arah Sabah,” tegasnya.






