14 Rumah Musnah Terbakar 100 Peratus di Nabawan

14 Rumah Musnah Terbakar 100 Peratus di Nabawan

0
SHARE
Foto: Ihsan JBPM Sabah

KENINGAU: Sebanyak 14 buah rumah musnah terbakar 100 peratus dalam kejadian kebakaran di Kampung Tikandis, Sepulut, Nabawan pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, Shellverinus Julius berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 9.16 pagi. 

“Lapor kebakaran melibatkan 14 buah rumah kediaman jenis tidak kekal termasuk dua buah rumah PPRT telah terbakar 100 peratus dengan anggaran keluasan keseluruhan kebakaran adalah 700 meter persegi. 

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran 300 kaki, dua pancutan menggunakan Portable Pum sumber ait terbuka (tangki air dan sungai) berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Operasi dilaporkan terkawal pada jam 11.30 pagi dan pemadaman bara-bara masih dijalankan di lokasi kejadian.

Katanya lagi, jentera FRT tidak dapat sampai ke lokasi kebakaran kerana jalan raya rosak, sempit dan tidak berturap.

“Terdapat juga laluan jalan yang curam dan jenis tanah merah yang licin.

“Pasukan bomba hanya menggunakan jentera FRV Triton untuk masuk ke kawasan kampung tersebut,” katanya.