
MEMBAKUT, SABAH – Sebanyak 17 buah gereja di seluruh daerah ini mendapat sumbangan tahunan sebanyak RM52,500 menjelang Hari Natal ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata sumbangan dari kerajaan negeri ini adalah bagi memenuhi keperluan menaik taraf keperluan untuk kegiatan aktiviti rumah ibadat mereka.
“Kita ikut apa keperluan, misalnya pada tahun lalu kita minya supaya gerrja fokus kepada keadaan tandas dan dapur. Ini juga untuk kegunaan kegiatan mereka…
“Kita berikan sumbangan sebanyak RM2,000 untuk setiap gereja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Ambang Hari Natal bertempat di Dewan Terbuka Membakut, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Arifin yang juga merupakan Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan Sabah itu turut berkata pihaknya berharap acara tahunan terbabit mampu mengeratkan hubungan serta menjalinkan perpaduan dikalangan penduduk disini.
“Saya juga bersyukur kerana rakyat di kawasan Membakut ini sentiasa berada dalam keadaan harmoni…
“Semoga usaha kita semua berterusan dalam menjalin perpaduan dapat mencapai kejayaan,” katanya.

Disamping itu, beliau juga turut mengingatkan kepada rakyat Sabah yang meraikan Hari Natal agar mengambil langkah berjaga-jaga berikutan cuaca tidak menentu, baru-baru ini.
“Kita mungkin menghadapi perubahan dan cuaca yang kurang mengizinkan…
“Jadi saya menasihatkan kepada semua masyarakat yang meraikan Hari Natal agar berhati-hati dan menjaga keselamatan,” katanya.