KOTA KINABALU, SABAH – Sebanyak 27 perkara akan dibangkitkan dalam memorandum Jemaah Menteri berhubung tuntutan Sabah dan Sarawak melibatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang dijadual dibentangkan kepada Kabinet pada 4 Januari ini.
Memetik sumber Bernama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, berkata 27 perkara terbabit adalah hasil maklum balas daripada kerajaan Sabah dan Sarawak.
“Daripada 27 perkara itu, 22 perkara berkait langsung dengan MA63 dan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), manakala lima lagi adalah syor tambahan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat penduduk Tanjung Aru Baru, yang terjejas akibat fenomena air pasang besar, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Armizan turut berkata satu daripada lima syor tambahan itu sudah diumumkan Perdana Menteri, baru-baru ini, iaitu memindahkan kuasa mengawal selia bekalan gas di Sabah kepada kerajaan negeri.
“Ia (kuasa kawal selia) adalah kuasa negeri Sabah tetapi berlaku pindaan undang-undang sekitar tahun 80-an maka kuasa itu diangkat ke Persekutuan…
”Permintaan kerajaan negeri serta keprihatinan Persekutuan, Kabinet sudah luluskan. Insya-Allah, Januari ini kuasa itu dipindahkan semula ke Sabah,” katanya.
Sementara itu, Armizan berkata, penyelarasan semua agensi kerajaan adalah penting bagi melaksana perancangan kerajaan bagi mendepani bencana, terutama banjir dan memastikan rakyat tidak mengalami kesan besar akibat bencana itu.
Beliau juga mahu semua agensi kerajaan dapat bekerjasama dengan baik bersama pihak lain seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mendepani bencana itu.
“Setakat ini, saya lihat penyelarasan itu hingga ke peringkat akar umbi itu, baik. Ini kita perlu teruskan supaya tidak wujud persenjangan (ketidakseimbangan) antara perancangan kita buat dengan pelaksanaan. Jika ada maklum balas dan perlu ditambah baik, kita ambil tindakan tambah baik…
“Kerjasama dengan syarikat telco (telekomunikasi) dapat berikan CSR (program khidmat masyarakat), selain METMalaysia (Jabatan Meteorologi Malaysia) dan JPS (Jabatan Parit dan Saliran) beri maklumat mengikut lokaliti, saya harapkan kerjasama ini diperluaskan,” katanya.





