MEDAN: Sebanyak 30 tan bantuan beras daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang disalurkan bagi membantu mangsa banjir di Kota Medan terpaksa dipulangkan, susulan keputusan Kerajaan Pusat Indonesia yang belum meluluskan penerimaan bantuan daripada pihak luar.
Datuk Bandar Medan, Rico Tri Putra Bayu Waas berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya menerima teguran daripada Kerajaan Pusat serta Gabenor Sumatera Utara berkaitan pematuhan peraturan dan prosedur bantuan antarabangsa.
“Kami telah memulangkan bantuan tersebut kepada Emiriah Arab Bersatu,” katanya ketika ditemui wartawan pada Khamis.
Menurut Rico, pihak pentadbiran bandar telah menyemak segala peraturan dan prosedur sedia ada berkaitan penyampaian bantuan bencana, termasuk melalui koordinasi dengan Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) serta Kementerian Pertahanan Indonesia.
“Hasil semakan dan koordinasi bersama semua pihak berkaitan mendapati bantuan itu tidak dapat diterima buat masa ini,” katanya, sambil enggan mengulas lanjut mengenai isu berkenaan.
Sebelum ini, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengakui telah menerima banyak panggilan daripada pemimpin dan ketua negara asing yang menyatakan hasrat untuk menghantar bantuan ke wilayah terjejas akibat bencana banjir di Sumatera, termasuk Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Indonesia berkeupayaan menangani bencana tersebut dengan sumber dan keupayaan sendiri.
“Saya menerima banyak panggilan daripada para pemimpin dan ketua negara yang ingin menghantar bantuan. Terima kasih atas keprihatinan anda, kami mampu,” kata Prabowo ketika mesyuarat kabinet di Kompleks Istana Presiden sebelum ini.
Dalam perkembangan berkaitan, komuniti diaspora Indonesia dilaporkan meluahkan kebimbangan terhadap dasar kerajaan yang mengenakan cukai ke atas bantuan bencana dari luar negara, termasuk bantuan untuk mangsa banjir di Sumatera, seperti dilaporkan oleh Tempo.
Isu pemulangan bantuan antarabangsa itu turut mencetuskan perbincangan awam mengenai keseimbangan antara kedaulatan dasar negara dan keperluan kemanusiaan dalam situasi bencana besar.






