Lebih 200 Peserta Sertai Program The TCG Event

Lebih 200 Peserta Sertai Program The TCG Event

0
SHARE

KOTA KINABALU: Lebih 200 peserta menyertai Program ‘Tabletop, Collectible Cards and Game’ atau lebih dikenali sebagai hobi permainan kad TCG yang dianjurkan di 1 Borneo Hypermall selama dua hari, iaitu Sabtu dan Ahad.

Pengerusi penganjur program, Chang Chee Ken berkata, selain peserta pihaknya turut membawa lapan pemilik kedai Tabletop ikut serta menjayakan penganjuran program tersebut.

Fadzrie Azierwan, antara pemain hebat Magic The Gathering Sabah bersama koleksi kad terkuat beliau.

“Kita sangat gembira, dengan semua kolaborasi yang ada dan darang dari jauh seperti Sandakan, Pitas dan Papar.

“Saya percaya, program juga boleh membantu untuk meluaskan komuniti kita di Sabah seterusnya dapat mengembangkan industri ini.

“Ini juga adalah satu ‘benchmark’ untuk kami terus mengadakan program-program seumpama ini di kawasan lain seperti Tawau dan Sandakan agar dapat mempromosikan hobi ini kepada orang ramai,” katanya ketika ditemui media pada Program The TCG Event di 1 Borneo semalam.

Tambahnya lagi, kehadiran 200 peserta untuk program seperti ini sudah memberi gambaran bahawa hobi ini sebenarnya sedang berkembang dan meluas di Sabah.

“Kalau kita ambil contoh program seperti ini dilaksanakan di Semenanjung, mereka boleh membawa 600 hingga 700 peserta untuk setiap satu permainan kad yang ada dan kita ada banyak jenis permainan kad seperti Pokemon, Yu Gi Oh, Magic The Gathering, Grand Archive dan banyak lagi.

“Jadi komuniti ini sebenarnya sangat besar dan kita hanya perlu war-warkan kepada orang ramai untuk mengenali seterusnya menyertai kita dalam hobi yang sihat ini,” katanya.

Chang pada masa sama turut berkongsi kesan positif terhadap individu apabila terlibat dalam komuniti hobi ini seperti contoh dapat memupuk semangat kerja berpasukan, meningkatkan daya fikir ke arah lebih kritis dan melahirkan insan mahir dalam menyelesaikan masalah.