Gagal Pastikan Keselamatan Pekerja Hingga Maut, SESB Didenda RM35,000

Gagal Pastikan Keselamatan Pekerja Hingga Maut, SESB Didenda RM35,000

0
SHARE
Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Sabah Electricty Sdn Bhd (SESB) didenda RM35,000 kerana gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya semasa bekerja sehingga menyebabkan berlaku kematian akibat terkena renjatan elektrik.

Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus mengarahkan SESB membayar denda tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes itu di luar keraguan munasabah terhadap SESB dan denda tersebut kemudian dibayar pihak SESB. 

Menurut fakta kes, SESB didapati bersalah kerana gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja merekta, Jacklye Mairin, 32 tahun ketika sedang melakukan penyelenggaraan menukar pin penebat pada suatu talian voltan tinggi dan menyebabkan kemalangan ke atasnya di tiang elektrik berkembar tidak bernombor milik SESB.

Kesalahan tersebut didkawa berlaku di Kampung Langkon, Kota Marudu pada jam 10.32 pagi, 18 Julai 2019.

Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, mahkamah membebaskan juruteknik SESB, Safly Ahmad daripada pertuduhan gagal memberikan perhatian munasabah kepada keselamatan dan kesihatan mangsa yang sama

Safly, 44, didakwa mengikut Seksyen 24(1)(a) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (2) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Muhammad Fadzli Masnan dan Nasir Fi’i, sementara SESB diwakili peguam Rizwandean M. Borhan dan Safly diwakili peguam Safrin Salleh.